Wednesday, September 22, 2010

PANDUAN BAJET BUAT PENGANTIN!!!

Sebagai bakal pengantin, banyak perkara yang perlu dititik beratkan, antara perkara yang paling utama ialah bajet perkahwinan itu sendiri. Jika anda baru sahaja bekerja dan mempunyai bajet yang agak terhad, sesuaikan dengan kemampuan, jangan terlalu mengikut nafsu dengan mengutamakan perkara-perkara yang mewah tanpa mengambil kira aspek kewangan. Di sini dinyatakan beberapa panduan untuk bakal pengantin seperti anda melaksanakan bajet perkahwinan yang sederhana tetapi meriah memenuhi kepuasan segenap pihak.

♥ Tarikh
Selepas bersetuju untuk hidup bersama, cari tarikh yang sesuai yang cukup untuk anda dan pasangan mengumpul duit bagi menempuh majlis perkahwinan yang tentunya memakan belanja yang agak besar. (sekurang-kurangnya setahun, tempoh masa yang sesuai untuk mengumpul perbelanjaan).

♥ Lokasi
Terpulang kepada kemampuan anda dan keluarga. Jika bajet ''besar'' mungkin boleh mengadakan majlis perkahwinan di hotel atau kelab yang eksklusif tetapi jika bajet hanya sederhana sahaja, sebaik-baiknya adakan majlis perkahwinan di rumah atau dewan yang harganya berpatutan.

♥ Mas kahwin & wang hantaran
Mas kahwin adalah mengikut kadar yang telah ditetapkan di negeri masing-masing manakala wang hantaran ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan. Namun sebaik-baiknya, berbincang dan ikutlah kemampuan pengantin lelaki. Jangan terlalu mahal kerana ini akan melambatkan perkahwinan yang suci ini.

♥ Cincin perkahwinan
Berpakatlah dengan pasangan anda untuk memilih cincin mengikut kemampuan dan tidak salah untuk memilih cincin emas kuning jika itu yang termampu oleh pasangan. Jangan pula memaksa untuk mendapatkan cincin berlian semata-mata mahukan kehendak anda dipenuhi!

♥ Baju bersanding
Biasanya baju pengantin untuk majlis bersanding hanya dipakai sekali sahaja. Oleh itu adalah tidak munasabah untuk anda membeli dan menjadikannya sebagai koleksi peribadi. Sebaik- baiknya sewa dan pilih beberapa pasang lagi yang boleh dijadikan baju untuk bertandang.

♥ Pelamin
Buat tinjauan dari pelbagai butik dan sesuaikan dengan bajet anda. Jika anda bernasib baik, mungkin akan mendapat harga yang lebih murah dari yang berada di pasaran.

♥ Bunga telur / cenderahati
Buat sendiri akan menjimatkan kos yang sedia ada. Tidak terlalu susah jika ada usaha dan kemampuan. Lihat sahaja majalah Pesona Pengantin dan cuba sesuaikan dengan cita rasa anda sendiri. Bayangkan jika anda melakukan sendiri cenderahati dalam jumlah yang besar seperti 1000 biji. Sudah tentu jumlah ringgit yang akan dijimatkan juga agak banyak.

♥ Solekan dan dandanan
Jika anda hanya mengambil pakej solekan dan dandanan sahaja, sudah tentunya harganya agak mahal, apa kata anda rangkumi dengan pakej pelamin, alas dulang, dulang hantaran, baju bersanding dan aksesori. Sudah tentu pakej yang ditawarkan juga menepati bajet anda.

♥ Foto & video
Utamakan bajet untuk gambar dan rakaman majlis perkahwinan anda kerana ia hanya akan berlangsung sekali seumur hidup sahaja. Pastikan anda memilih jurugambar yang tepat supaya dapat merakamkan saat manis anda berdua. Jika tidak mampu untuk mengupah juruvideo profesional, minta pertolongan dari rakan-rakan untuk merakamkan saat manis ini.

♥ Katering & kanopi
Pastikan anda memastikan jumlah makanan yang dihidangkan melebihi jumlah tetamu yang dijemput. Bimbang jika makanan yang dihidangkan tidak mencukupi. Jadi buat pengiraan kasar berapa ringgit untuk satu kepala dan berapa jumlah kanopi yang diperlukan bagi menampung kehadiran tetamu.

♥ Kad jemputan
Tidak perlu kad jemputan yang mahal atau berhelai-helai panjangnya semata-mata untuk menjemput tetamu. Anda boleh menggunakan kreativiti dengan mereka dan mencetak kad jemputan sendiri.

♥ Barang hantaran
Tiada istilah minimum atau maksimun dalam menghadiahkan barang hantaran kepada pasangan masing-masing. Namun jika kurang berkemampuan, anda boleh menyediakannya dalam balasan yang sederhana seperti tujuh dulang berbalas sembilan dulang hantaran. Yang penting ialah setiap barangan boleh digunakan selepas majlis perkahwinan itu sendiri.

♥ Kompang
Terpulang, jika anda merasakan bajet sudah berlebihan, pasang sahaja kaset dan ini sudah merangkumi kemeriahan majlis.

CONTACT
RARA : 0176912714
EMAIL : saifieracollection@gmail.com

** kami menyediakan tempahan cenderahati (doorgift) murah untuk minimumkan budget anda.  hubungi segera untuk tempahan. MACAM-MACAM ADA!!!

No comments:

Post a Comment